Bengkel Asas Microsof Excel Ajuran Bersama KMKK Tanah Besar Daro dan PIK Daro (Kumpulan 1)
9 Mac 2021 | Aktiviti TerkiniTanggal 8 Mac 2021 merupakan tarikh permulaan berlangsungnya Bengkel Asas Microsof Excel yang dianjurkan bersama oleh KMKK Tanah Besar Daro dan PIK Daro. Bengkel ini terlaksana atas keprihatinan daripada Penghulu Daro iaitu Ayahanda Yusuf bin Bakeri dan selaras dengan arahan daripada pihak kerajaan agar pengumpulan data berkaitan penduduk yang layak untuk menerima bantuan Vaksin Covid-19 disempurnakan dengan jayanya. Oleh kerana data yang dikumpulkan hendaklah disenaraikan menggunakan perisian Microsoft Excel, maka wujud sedikit kesukaran kepada pihak yang telah diamanahkan untuk tujuan tersebut terutamanya pihak JKK sekiranya kurang mahir menguasainya.
Bengkel ini dijalankan di Bilik Latihan PIK Daro bermula dari pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 12 tengah hari. Disebabkan sedikit kekangan daripada situasi semasa iaitu ketika rakyat sedang berdepan dengan pandemik Covid-19, maka bengkel ini dijalankan secara berperingkat dengan bilangan peserta yang terhad. Walaupun agak mengambil masa yang lama, namun bengkel tetap diteruskan dengan dibahagikan kepada 5 kumpulan yang terdiri daripada 3 pasangan (Ketua Kaum / Tuai Rumah dan Setiausaha JKK terlibat) untuk satu kumpulan sepanjang 5 hari bengkel berlangsung.
Antara kandungan modul yang dipelajari adalah menekankan aspek-aspek seperti:
- Mengenalpasti peralatan asas di dalam Microsoft Excel 2013
- Mengetahui kegunaan MS Excel untuk membuat buku kerja seperti maklumat perbelanjaan, laporan kewangan, membina carta pai, mengendali pangkalan data dan sebagainya
- Mempelajari dan memahirkan diri melengkapkan dan mengubah suai maklumat di dalam MS Excel
Selain itu, para peserta bengkel juga diselitkan taklimat tentang langkah-langkah keselamatan melayari internet melalui taklimat Klik Dengan Bijak (KDB) dan Advokasi.
Seramai 6 orang peserta telah menyertai bengkel ini untuk hari pertama yang terdiri daripada Ketua Kaum, Setiausaha JKK serta wakil daripada JKK.
Diharapkan melalui program seperti ini dapat meningkatkan tahap pengetahuan ICT para Komuniti setempat terutamanya pihak yang telah diamanahkan untuk melengkapkan data berkenaan Vaksin Covid-19 dengan sebaiknya.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: