Bengkel MIV (Malaysia ICT Volunteer) bersama Komuniti 2020
6 September 2020 | Aktiviti TerkiniSebuah Bengkel MIV Bersama Komuniti 2020 telah berlangsung secara dalam talian melalui Video Conference kepada semua sukarelawan ICT yang berdaftar di Pusat Internet seluruh Malaysia pada 5 September yang lalu. Seramai dua orang sukarelawan Pusat Internet Daro telah pun mendaftar untuk bersama-sama menjayakan program tersebut. Program MIV Bersama Komuniti 2020 ini akan dijalankan bagi menyokong 'Truth Campaign' yang dilancarkan oleh Pasukan Komunikasi Strategik SKMM. Kempen ini merupakan lanjutan dari usaha pemerintah untuk memerangi berita palsu dan mempromosikan nilai-nilai tanggungjawab dalam tingkah laku. Sukarelawan MIV akan digerakkan sebagai agen perubahan / duta besar untuk mendidik, mempromosikan dan berkongsi mesej utama kepada komuniti masing-masing termasuk pemimpin tempatan di peringkat akar umbi.
Sesi penerangan Bengkel MIV tersebut telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Penglibatan Komuniti SKMM, Encik Tahir bin Musa bersama beberapa kakitangan SKMM yang lain. Bengkel tersebut dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Ketua Jabatan Penglibatan Komuniti, SKMM, Puan Hasimah binti Hashim dan diikuti dengan sesi penerangan modul ‘Klik Dengan Bijak’ serta kandungan ‘Kebebasan Bersuara Bukan Kebebasan Berbohong’ yang disampaikan oleh Encik Tahir. Seterusnya ialah sesi penyampaian Taklimat Tugasan Sukarelawan dan sesi soal jawab bersama Puan Nur Amanina binti Che Azemi dari Bahagian Pembangunan & Pengurusan Sukarelawan.
Berikutan pandemik Covid-19, program MIV bersama Komuniti 2020 akan disesuaikan mengikut norma baru bagi memastikan kesejahteraan semua sukarelawan dan Pusat Internet. Kegiatan ini akan memberi tumpuan kepada mesej sokongan utama dalam talian mengenai "Kempen Kebenaran". Tempoh sukarela yang akan memakan masa sekitar 6 - 8 minggu itu akan memfokuskan penyebaran mesej melalui media / platform ONLINE. Walau bagaimanapun, ia juga akan merangkumi sesi perkongsian mesej advokasi OFFLINE jika boleh berdasarkan SOP pandemik semasa. Diharapkan melalui program seperti ini dapat meningkatkan tahap kesedaran netizen tentang kepentingan sentiasa menjaga keselamatan semasa di atas talian dan sentiasa menyemak maklumat sebelum disebarkan.
Berikut adalah gambar sepanjang aktiviti ini dijalankan: